KIM Tan Kian Wee (lima kiri) bersama Abu Bakar Yusof (enam kiri) bergambar selepas sidang akhbar Ekspo Pengguna Malaysia-China 2025 (MYCE 2025) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
 
Share on twit
KUALA LUMPUR: Hubungan dagangan Malaysia-China terus diperkukuh menerusi penganjuran Ekspo Pengguna Malaysia-China 2025 (MYCE 2025) yang akan menampilkan lebih 170 pempamer dari Malaysia, China, Korea, Taiwan dan negara ASEAN.

Acara yang bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 15 hingga 17 Oktober ini dijangka menarik lebih 2,800 pembeli antarabangsa dan pembuat keputusan industri dengan memfokuskan kepada runcit pintar dan perdagangan rentas sempadan.

 

Presiden Persatuan Perdagangan Import dan Eksport Guangdong-Malaysia, Kim Tan Kian Wee berkata, MYCE 2025 berteraskan tiga tonggak utama iaitu platform e-dagang, perdagangan rentas sempadan serta makanan dan gaya hidup halal.

Katanya, penganjuran kali ini membuka peluang baharu dalam sektor runcit pintar, peralatan pasar raya dan perdagangan pengguna global sekali gus memberi ruang kepada peserta tempatan bertemu pembeli luar negara, mempromosikan jenama melalui saluran global dan meneroka pasaran baharu.

“MYCE 2025 berpegang pada misi membawa syarikat Malaysia ke pasaran antarabangsa dan membawa jenama berkualiti dunia ke Malaysia. Tahun ini, di bawah tiga teras utama itu, kami memperkenalkan dua pameran sub-tema: Ekspo Mesin Layan Diri dan Industri Runcit Asia Tenggara (Malaysia) dan Ekspo Teknologi Runcit dan Peralatan Pasar Raya Asia Tenggara (Malaysia).

“Pameran ini turut menampilkan tiga segmen utama iaitu runcit pintar dan e-dagang, barangan pengguna halal serta gaya hidup dan fesyen modest. Melalui padanan perniagaan, eksport rentas sempadan dan perkongsian pensijilan halal, kami membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran global,” katanya.

KIM Tan Kian Wee berucap pada sidang akhbar Ekspo Pengguna Malaysia-China 2025 (MYCE 2025) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Kim Tan berkata, MYCE 2025 turut menjadi pesta gaya hidup terbuka kepada orang ramai dengan zon interaktif merangkumi teknologi runcit, makanan, kecantikan, kesihatan, barangan haiwan peliharaan, fesyen dan peralatan rumah yang dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung.

“Rombongan dari Fujian, China juga akan mempamerkan produk berkualiti bagi memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia-ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, MYCE 2025 bukan sekadar pameran selama tiga hari tetapi platform berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai jambatan menghubungkan pasaran pengguna Asia dengan dunia.

Sementara itu, Pengarah Projek Guangdong Huachuang Digital dan Intelligent Exhibition Co., Ltd berkata, pameran bertemakan runcit pintar mendorong masa depan itu menumpukan kepada teknologi mesin layan diri global, barangan pengguna, penyelesaian digitalisasi runcit dan inovasi peralatan pasar raya dengan tujuan menyediakan platform antarabangsa yang menggabungkan pameran, pertukaran serta pembelian.

Beliau berkata, pameran tersebut telah menarik penyertaan aktif daripada persatuan perdagangan, peserta pameran dan pembeli dari lebih 20 negara dan wilayah di seluruh dunia.

“Lebih banyak syarikat terkenal akan turut serta mempamerkan teknologi dan produk terkemuka seterusnya membantu transformasi dan peningkatan industri runcit.

“Kami berharap melalui padanan tepat dapat memupuk kerjasama yang berkesan dan menggalakkan integrasi mendalam rantaian industri runcit global,” katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya sentiasa menyokong dan menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menerokai pasaran antarabangsa khususnya pasaran China.

Menurutnya, walaupun PMKS hanya menyumbang RM200 bilion atau 14.3 peratus daripada jumlah eksport negara bernilai RM1.51 trilion pada 2024, peratusan itu meningkat berbanding 12.2 peratus pada tahun sebelumnya.

“Dalam konteks hubungan Malaysia-China, kita perlu membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada pasaran China. Berdasarkan pengalaman saya tujuh tahun di China, memang ada cabaran tetapi melalui platform digital dan e-dagang seperti Shopee dan Lazada, banyak produk tempatan berjaya menembusi pasaran tersebut.

“MYCE 2025 adalah platform strategik untuk menghubungkan syarikat tempatan dengan pemain industri luar negara serta mempelbagaikan pasaran eksport sejajar aspirasi MATRADE dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membantu usahawan meningkatkan eksport dan mengembangkan pasaran ke luar negara,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *